KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) --
Penggiat industri Halal menggesa Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim)
supaya mempercepat proses pengeluaran sijil halal, kata Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Selepas sesi dialog
dengan penggiat industri hari ini, beliau berkata kementerian itu akan
berbincang dengan Jabatan Perdana Menteri dan Jakim tidak lama lagi bagi
mewujudkan penyelesaian sama-sama menang untuk manfaat industri halal serta
ekonomi secara keseluruhannya.
"Pada masa ini, teknologi dan
bahan yang digunakan bagi menghasilkan produk halal lazimnya berbeza mengikut
pasaran dan negara sasaran. Ini tidak sama seperti dahulu yang hanya melibatkan
bahan utama atau prosedur.
"Inilah faktor yang menyebabkan
Jakim mengambil masa yang lebih lama untuk mengesahkan produk baharu. Namun
kami akan merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi,"
katanya kepada pemberita selepas sesi dialog itu.
Mustapa berkata mekanisme Petunjuk
Prestasi Utama (KPI) dicadangkan kepada Jakim pada sesi itu bagi menyediakan
jangka masa untuk proses pensijilan sesuatu produk.
"Pada pertemuan itu, dua
syarikat besar menyuarakan kebimbangan mereka. Sebagai kerajaan yang mesra
perniagaan, kami berada di sini untuk membantu perniagaan berkembang,"
katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment